Mohamad Zainal dilantik Pesuruhjaya Polis Sarawak

Mohamad Zainal dilantik Pesuruhjaya Polis Sarawak

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu menggantikan Datuk Mancha Ata.

Pelantikan berkuat kuasa 29 September itu juga menyaksikan Mohamad Zainal, 47, dinaikkan pangkat ke Komisioner (CP) sekali gus menjadikannya pegawai polis termuda menyandang jawatan berkenaan.

Beliau menggantikan Mancha yang akan bersara wajib pada tarikh sama.

Mengesahkan pelantikan itu, Mohamad Zainal berkata, beliau bersyukur dan menyifatkannya sebagai peluang untuk menabur bakti di negeri kelahirannya.

“Alhamdulillah, masa untuk berkhidmat di negeri kelahiran pula setelah hampir 30 tahun berkelana di Semenanjung Malaysia (belajar dan bekerja).

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan kepercayaan untuk memimpin negeri Sarawak, Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Zainal memiliki pengalaman luas dalam bidang siasatan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, termasuk pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman, Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah.

Beliau juga adalah antara graduan Harvard Business School selepas mengikuti program pengurusan lanjutan di institusi berkenaan.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarjana Sumber Manusia (Universiti Putra Malaysia), Sarjana Muda Undang-Undang (UiTM) dan Sarjana Muda Pentadbiran Sosial dan Keadilan dari Universiti Malaya.

Pelantikan beliau adalah sebahagian daripada pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan 38 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh PDRM berhubung senarai pertukaran jawatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top