Kaherah: Bintang Liverpool, Mohamed Salah sekali lagi membuktikan bahawa warisannya lebih besar daripada bola sepak apabila dilaporkan membelanjakan RM101.5 juta untuk membeli sebuah hospital swasta di Mesir bukan untuk keuntungan atau kemasyhuran namun atas dasar belas kasihan.
Salah menukarkan fasiliti itu menjadi pusat perubatan percuma sepenuhnya, khusus untuk warga emas yang hidup sendirian tanpa sokongan keluarga. Dari pemeriksaan rutin hingga pembedahan kritikal membabitkan ubat-ubatan termasuklah penjagaan jangka panjang, tiada seorang pesakit pun dikenakan bayaran.
Bagi pesakit di negara terbabit, ini adalah kali pertama dalam bertahun-tahun mereka dapat berjumpa doktor tanpa risau soal kos.
Menurut sumber rapat dengannya, motivasi Salah cukup sederhana dan rendah hati.
“Mereka membina negara ini sekarang giliran kita menjaga mereka,” kata seorang duda warga emas, yang selama ini mengelak hospital kerana masalah kewangan, dikatakan menangis apabila mengetahui semua kos rawatannya akan ditanggung sepenuhnya.
Dalam era di mana ramai bintang dunia membelanjakan jutaan ringgit untuk kereta mewah, vila dan kapal persiaran, Salah memilih jalan berbeza dengan melabur untuk harapan, maruah dan kemanusiaan.
Tindakan itu bukan saja menyentuh hati rakyat Mesir, malah turut mendapat pujian dari komuniti bola sepak seluruh dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




