Istanbul: Iran melantik Mohammad Bagher Zolghadr sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Negara, bagi menggantikan Ali Larijani yang terkorban dalam serangan Israel-Amerika Syarikat (AS), menurut pejabat presiden pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Penentuan Kepentingan Iran. Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan lain termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pembantu kepada ketua kehakiman bagi hal ehwal strategik.
Zolghadr menggantikan Larijani yang terkorban dalam serangan udara AS-Israel di Tehran pada 17 Mac. AS dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kecederaan dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




