Mohd. Nasir dilantik Pengerusi Prasarana

Mohd. Nasir dilantik Pengerusi Prasarana

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini.

Menurut Prasarana, Mohd. Nasir sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga bersara pada 1 Jun 2011. 

“Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Berhad sejak 2018.

“Beliau menggantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Prasarana pada 30 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Prasarana juga mengumumkan Amir Hamdan sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), mulai 15 Julai depan. 

Katanya, pelantikan itu bagi menggantikan Mohd. Azharuddin Mat Sah yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bersama Prasarana pada 14 Julai ini. 

“Pelantikan Amir sebagai pemangku PGCEO sejajar komitmen untuk memastikan kesinambungan kepemimpinan dan kelangsungan operasi syarikat dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing.

“Untuk rekod, Amir pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.  

“Beliau menyertai Prasarana pada 2019 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan sebelum dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. pada 2022. 

“Sepanjang menerajui Rapid Rail, beliau berjaya memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan rel.

“Amir merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Lincoln University of New Zealand dan Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam dari INCEIF University, serta ahli bertauliah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA),” katanya.

Prasarana berkata, Lembaga Pengarah dan barisan Kepemimpinan Kanan Kumpulan mengalu-alukan pelantikan berkenaan.  

Ujarnya, pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh itu mampu memperkukuh lagi usaha Prasarana dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan memenuhi aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran 40 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030.

Pada masa sama, Prasarana turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jamaludin dan Mohd. Azharuddin atas jasa dan kepemimpinan mereka sepanjang empat tahun menerajui syarikat itu. 

Jelasnya, kepemimpinan mereka berjaya mentransformasi organisasi, memperkukuh tadbir urus serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam demi manfaat rakyat dan negara.

“Kepemimpinan unggul mereka dalam menerajui Prasarana telah menjurus kepada pencapaian yang amat membanggakan, termasuk kejayaan merekodkan jumlah penumpang harian rel dan bas tertinggi pada 31 Disember 2024 seramai 1.5 juta, berjaya mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel daripada 255 (pada 2022) kepada 71 gangguan (pada 2024), serta pengenalan beberapa inisiatif baharu seperti perkhidmatan van Rapid On-Demand (ROD),” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top