Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ditukarkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selama dua tahun, berkuat kuasa 1 Julai ini.
Beliau yang memegang jawatan Pengarah JSJ sejak Ogos 2023, dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS hingga 30 Jun 2027.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar S Muthuvelu, dilaporkan bakal mengambil alih jawatan Mohd Shuhaily sebagai Pengarah JSJ.
Arahan pertukaran itu dikesan tular di media sosial sejak malam tadi.
Mohd Shuhaily ketika dihubungi BH, hari ini, mengesahkan perkara itu selepas menerima arahan pertukaran tetapi enggan mengulas lanjut dan meminta pihak media menantikan Majlis Serah Terima Tugas yang dijadualkan berlangsung lusa.
Arahan pertukaran itu turut membabitkan dua lagi nama. Mereka ialah Superintendan William Anak Nobes yang ditukarkan daripada Superintendan Urus Setia (Dasar Strategik) Cawangan Khas Bukit Aman ke Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman.
Selain itu, Superintendan Abd Rashid Abu Bakar ditukarkan daripada Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman ke Superintendan Komunikasi Korporat (2) Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman.
Arahan itu bagaimanapun tidak menyatakan pelantikan untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Polis Johor susulan pertukaran M Kumar ke Bukit Aman.
© New Straits Times Press (M) Bhd