hifzuddin@bh.com.my
Alor Setar: PAS mengumumkan pelantikan seramai 11 pemimpin kanan bagi melengkapkan senarai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat bagi penggal 2025-2027.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan turut mengumumkan senarai Pesuruhjaya PAS Negeri yang menyaksikan rombakan kecil di peringkat itu.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat diadakan pada hari ini, sejurus selepas Muktamar Tahunan PAS 2025 ditangguhkan.
“Berdasarkan Fasal 38(4) dan Fasal 38(5) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025), adalah dimaklumkan bahawa jawatan berikut telah dilantik di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,” katanya.
Antara yang dilantik ke jawatan AJK PAS Pusat adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Tan Sri Annuar Musa.
Perubahan di peringkat negeri turut menyaksikan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Perak dan Ahli Majlis Syura Ulama, Ahmad Ali dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis.
Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan diumum Setiausaha Agung, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai Bendahari, Ahmad Fadhli Shaari sebagai Ketua Penerangan dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




