Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memohon untuk mengundurkan diri daripada jawatannya, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk memberikannya cuti sementara selepas Kongres Nasional 2026.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, cuti berkenaan akan bermula sejurus kongres itu berakhir sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
“MPP turut membincangkan permohonan saudari Nurul Izzah Anwar untuk mengundurkan diri dari jawatan timbalan presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat MPP hari ini.

Sepanjang tempoh cuti Nurul Izzah, Naib Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail akan memangku tugas Timbalan Presiden, manakala seorang lagi Naib Presiden, Amirudin Shari diberi tanggungjawab penuh sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.

Nurul Izzah menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR sejak 23 Mei tahun lalu selepas menewaskan Rafizi Ramli dalam pemilihan parti yang berlangsung di Johor.
Walaupun akan bercuti selepas Kongres Nasional 2026, beliau dijadualkan menyempurnakan perasmian Kongres Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 14 Ogos ini.
“Berhubung Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah akan merasmikan kongres wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos 2026,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata MPP turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun atas khidmat cemerlangnya selama dua penggal, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Artikel lain: Nurul Izzah rayu beri undi kepada PH, kekalkan Aminuddin di Negeri Sembilan
“Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus sewaktu dua PRN itu,” ujar beliau.




