TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei dilaporkan berada dalam keadaan ‘sihat sepenuhnya’ selepas mengalami kecederaan ketika serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari lalu.
Seorang pegawai kanan Iran mengesahkan Mojtaba cedera pada tempurung lutut dan bahagian bawah belakang akibat gelombang letupan ketika menuju ke kediamannya dalam serangan tersebut.
Pengarah Protokol Pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Mazaher Hosseini berkata, kecederaan itu kini semakin pulih dan menolak spekulasi bahawa Mojtaba mengalami kecederaan serius di bahagian muka.
Menurutnya, hanya terdapat rekahan kecil di belakang telinga pemimpin itu dan ia sudah dirawat.
Hosseini berkata, beliau berada di lokasi ketika serangan pada 28 Februari berlaku.
Serangan itu turut mengorbankan bapa Mojtaba, Ali Khamenei bersama beberapa pegawai kanan Iran di lokasi berhampiran.
Menurut Hosseini, kediaman Mojtaba menjadi sasaran langsung dalam serangan tersebut menyebabkan isterinya dan beberapa individu lain terbunuh.
Mojtaba kemudian mengambil alih jawatan Pemimpin Tertinggi Iran pada 9 Mac selepas kematian bapanya.
Beliau dilaporkan tidak berada di dewan kuliah biasanya ketika serangan berlaku, manakala lokasi itu kemudian musnah akibat bedilan.
Kenyataan itu dibuat bagi menolak spekulasi mengenai tahap kesihatan Mojtaba selepas beliau jarang muncul di khalayak sejak perang tercetus.
Hosseini berkata, musuh Iran kini cuba mendapatkan bahan audio atau video berkaitan Mojtaba bagi melancarkan tindakan terhadapnya.
Beliau menegaskan pemimpin tertinggi itu akan berucap kepada rakyat pada ‘masa yang sesuai’.
Perkembangan tersebut berlaku ketika gencatan senjata antara AS dan Iran masih rapuh, manakala usaha damai yang dimudah cara Pakistan belum menghasilkan perjanjian berkekalan.- Agensi



