Mojtaba Khamenei perlu jalani pembedahan plastik?

Mojtaba Khamenei perlu jalani pembedahan plastik?
Mojtaba Khamenei perlu jalani pembedahan plastik?

Lokasi keberadaan Mojtaba Khamenei dirahsiakan atas faktor keselamatan. – Foto Agensi

TEHERAN – Keadaan sebenar Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei terus mencetuskan tanda tanya.

Rangkaian media Barat termasuk The New York Times mendakwa tokoh yang mengambil alih jawatan bapanya, Ali Khamenei masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan serius disebabkan serangan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel pada 28 Februari lalu dan kini beroperasi dari sebuah lokasi rahsia.

“Keupayaannya untuk berkomunikasi agak terhad. Walaupun keadaan fizikalnya agak parah, beliau masih cerdas dan aktif secara mental,” menurut pegawai kanan di Teheran.

Menurut beberapa laporan media, salah satu kakinya telah dibedah sebanyak tiga kali dan kini menunggu kaki palsu.

“Beliau juga menjalani pembedahan pada sebelah tangannya. Bahagian mukanya melecur teruk hingga menyukarkan Mojtaba Khamenei untuk bercakap. Beliau mungkin memerlukan pembedahan plastik,” menurut laporan itu yang memetik beberapa sumber rapat.

Kecederaannya secara langsung memberi kesan terhadap pelaksanaan kuasa di peringkat tertinggi.

Sehingga kini, Mojtaba Khamenei, 56, tidak membuat sebarang penampilan umum atau mesej siaran sejak mengambil alih kepimpinan pada Mac lalu kerana enggan kelihatan lemah atau tidak berdaya di mata musuh pada saat kritikal.

Komunikasi dengannya juga dijalankan secara rahsia melalui kiriman surat yang ditulis tangan.

“Pegawai kanan kerajaan juga enggan mengambil risiko untuk melawat Mojtaba Khamenei kerana bimbang Israel dapat mengesan lokasi persembunyiannya,” jelas laporan tersebut lagi. – Agensi

 

 

Scroll to Top