Mojtaba tiada masalah, akan mulakan tugas – Abbas Araghchi

Mojtaba tiada masalah, akan mulakan tugas – Abbas Araghchi

Washington: Kerajaan Iran memaklumkan ‘tiada masalah’ dengan pemimpin tertinggi baharu republik Islam itu, Mojtaba Khamenei, yang menurut pegawai Amerika Syarikat (AS) tercedera.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, tiada masalah dengan pemimpin tertinggi baharu itu.

“Beliau menghantar mesejnya semalam dan akan melaksanakan tugasnya,” katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, beliau percaya Mojtaba yang mengambil alih kuasa selepas bapanya terbunuh dalam serangan pada permulaan perang AS dan Israel ke atas Iran, ‘sudah cedera dan kemungkinan mengalami kecacatan’.

Pegawai Iran sebelum ini mengesahkan laporan bahawa pemimpin baharu itu cedera tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Khamenei, 56, tidak dilihat di khalayak ramai sejak serangan udara yang membunuh bapanya dan pendahulunya sebagai pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa anggota penting keluarganya.

Bagaimanapun, pada Khamis, beliau mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyatakan isterinya, adik perempuannya, anak kepada adik perempuannya dan adik iparnya terbunuh.

Susulan itu, beliau berikrar untuk membalas kematian itu sejak bermulanya perang dengan AS dan Israel.

Beliau juga menekankan potensi Iran untuk menimbulkan kekacauan di seluruh rantau itu dengan menekan bekalan minyak dan menggunakan proksi serantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top