MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memuji keputusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menyokong penambahan lima sukan baharu dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata, MOM mempunyai banyak sebab untuk berasa gembira dengan penambahan lima sukan tersebut terutamanya skuasy kerana sukan tersebut telah menjadi penyumbang pingat yang konsisten kepada kontinjen Malaysia DI pelbagai temasya sukan.
“Kami akan bersandarkan sokongan yang diberikan oleh penyertaan di Olimpik untuk memacu pertumbuhan skuasy. Cabaran ini adalah untuk menjadikan skuasy sebagai acara tetap dalam Sukan Olimpik pada masa depan,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.
Selain skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol dicadangkan oleh penganjur LA 2028 untuk disenaraikan di temasya itu dan kesemuanya mendapat kelulusan daripada IOC.



