Momen cinta cetus gempar

Momen cinta cetus gempar

najiy.jefri@hmetro.com.my

MENGANGKAT tema Celebrating a New Era: Music, Movement & Meanitng, konsert Here I Am yang berlangsung Jumaat lalu menyaksikan penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa menampilkan kematangan dalam persembahan muziknya menerusi aksi pentas penuh emosi, kejutan serta kolaborasi rentas generasi yang memukau.

Antara detik paling mencuri tumpuan adalah apabila sahabat baik Rossa dilamar secara langsung di atas pentas.

Momen romantik itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh ribuan penonton, sekali gus menjadi antara sorotan paling menyentuh malam bersejarah itu.

Konsert yang berlangsung di Indonesia Arena, Gelora Bung Karno, Jakarta ini menjadi tanda ulang tahun ke-30 perjalanan seni Rossa dalam industri muzik.

Dalam masa sama, antara kolaborasi yang mencuri perhatian ialah ketika Rossa dan penyanyi muda Bernadya mendendangkan lagu Satu Bulan dengan penuh harmoni, menyerlahkan keserasian dan keakraban antara dua generasi seni.

Dalam pada itu, ketika lagu Terlalu Cinta hampir melabuhkan tirai, Rossa dan Afgan berpelukan hangat di pentas, sekali gus menjadi simbol eratnya persahabatan serta sejarah panjang yang mereka kongsi dalam dunia seni.

Malam penuh magis itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis hebat seperti Yura Yunita, Bernadya, Afgan, Yeremia, JKT48, Dipha Barus dan pereka fesyen terkenal, Ivan Gunawan.

Persembahan Rossa dan Yura menerusi lagu Tutur Batin begitu meninggalkan impak selain menyatukan kekuatan vokal dan emosi yang mendalam.

Menariknya, setiap busana yang digayakan Rossa direka berinspirasikan bunga, simbol kepada keindahan, pertumbuhan dan kekuatan dalam perjalanan seninya selama ini.

Sepanjang konsert itu berlangsung, Rossa tidak putus-putus mengucapkan penghargaan kepada peminat yang menjadi tulang belakang sepanjang tiga dekad kerjayanya.

Dalam pada itu, Rossa bakal mengadakan konsert Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top