am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Belajar di atas kapal sambil belayar, di dalam kereta, menjawab soalan tugasan dan peperiksaan ketika sedang bermesyuarat.
Itu antara cabaran dan momen indah yang dilalui enam pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum menamatkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Laksamana Pertama (M) Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, beliau dan lima lagi rakan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan Integrated Coastal Zone Management (ICZM) di UMT.
Katanya, tugas hakiki sebagai penjawat awam yang menjaga perairan negara dengan pelbagai siri operasi, dan pada masa sama bergelar graduan amat mencabar bagi mereka.
“(Namun) Alhamdulillah kami berjaya menamatkan pengajian, tambahan pula jurusan yang diambil sangat berkait rapat dengan tugasan kami.
“Apa yang kami peroleh sepanjang pengajian ialah nilai tambah yang boleh diterapkan dalam tugas seharian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-23 UMT, di sini, hari ini.
Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Pengarah APMM Sabah berkata, sebelum ini dia bertugas sebagai Pengarah APMM Terengganu dan mengambil kesempatan bersama rakan-rakan untuk melanjutkan pengajian apabila mendapat penerangan terperinci daripada pihak UMT.
Sementara itu, Leftenan (M) Muhammad Iqbal Manaf Isha berkata, dia sebelum ini bertugas di Terengganu sebelum bertukar ke Johor dan peluang diberikan untuk melanjutkan pelajaran dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya akui pernah mentelaah pelajaran di atas kapal ketika kami sedang belayar, menjawab soalan tugasan dan peperiksaan di bilik mesyuarat juga kami lalui.
“Ia adalah momen terindah ketika bergelar penuntut namun dalam masa sama menuntut kekuatan kerana menjalankan dua tanggungjawab serentak,” katanya.
Menurutnya, tiada jalan pintas untuk meraih segulung sijil sarjana ini kerana ia menuntut komitmen tinggi kerana mereka bukannya waktu pejabat.
Katanya, ada masanya terpaksa belayar, menyertai operasi dan sebagainya, namun tanggungjawab pelajar tidak diabaikan.
Iqbal berkata, dia meluahkan rasa gembira apabila hari ini dia bersama ‘bekas bosnya’ iaitu pengarah APMM Sabah dapat sama-sama bergraduasi selepas tamat pengajian.
Empat lagi pegawai APMM yang diraikan ialah Kepten (M) Ariffin Ghazali, Komander (B) Rashidilhadi Md Deris @ Adb Rashid, Leftenan (M) Abdul Basir Aziz dan Leftenan Madya (M) Mohd Khairy Shaedan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




