Monaco: Pasukan Monaco terikat 0-0 dengan pelawat Lille sekali gus pasukan pendahulu Ligue 1 itu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini.
Monaco kini berada di puncak liga dengan 20 mata selepas enam kemenangan dan dua seri. Mereka unggul tiga mata di hadapan juara bertahan, Paris St Germain, yang akan menentang Strasbourg, pasukan di tangga ketujuh, pada Sabtu.
Monaco lebih menguasai permainan pada separuh masa pertama dan terus memberikan tekanan selepas rehat, tetapi percubaan Eliesse Ben Seghir dan Takumi Minamino hampir melepasi palang gol sejurus sebelum minit ke-60.
Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-61 selepas pertahanan Jordan Teze dibuang padang kerana melakukan kekasaran ke atas pemain gantian Lille, Gabriel Gudmundsson.
Penjaga gol Lille, Lucas Chevalier, menyelamatkan percubaan penting pada masa kecederaan apabila dia berjaya menafikan rembatan pemain tengah Denis Zakaria dari dalam kotak penalti.
Lille, yang memasuki perlawanan ini dengan kemenangan ke atas Le Havre dan Toulouse serta menang 1-0 dalam Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, kini berada di tangga keempat dengan 14 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




