Paris: Kapten Sepanyol, Alvaro Morata menyertai Como secara pinjaman dengan kewajipan pembelian daripada kelab Serie A, AC Milan, menurut pengumuman kedua-dua kelab, semalam.
Pemain berusia 32 tahun itu menghabiskan beberapa bulan terakhir musim lalu secara pinjaman di Galatasaray selepas tidak lagi menjadi pilihan di San Siro.
Kelab bercita-cita tinggi, Como, menamatkan saingan di tangga ke-10 Serie A musim lalu di bawah bimbingan jurulatih, Cesc Fabregas pada musim pertama mereka di liga utama selepas 21 tahun.
“Tahun lalu ketika menentang mereka, saya dapat menghargai pasukan ini dan projeknya kerana jelas sekali mereka mempunyai banyak cita-cita,” kata Morata dalam satu kenyataan.
“Saya berjanji kepada penyokong dan kelab, saya akan memberikan 200 peratus dalam setiap sesi latihan dan setiap perlawanan. Saya tidak sabar untuk memakai jersi ini.”
Morata memenangi beberapa trofi utama sepanjang kariernya yang merangkumi tempoh bersama Real Madrid, Juventus, Atletico Madrid dan Chelsea.
Beliau turut mengetuai Sepanyol menjuarai Euro 2024 sebagai kapten.
“Saya mengenali Alvaro selama bertahun-tahun dan sentiasa mengagumi cara dia bermain serta pembawaannya,” kata Fabregas.
“Dia seorang penyerang yang bijak, sentiasa tampil di saat-saat penting dan rakan sepasukan yang memberi semangat kepada semua di sekelilingnya.”
Musim baharu Serie A akan bermula minggu depan, dengan Como membuka kempen mereka menentang Lazio di laman sendiri pada 24 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




