farahazharie@nst.com.my
Bangkok: Pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Moses Raj menyifatkan kekalahan tipis 0-1 Harimau Muda kepada Thailand di separuh akhir Sukan SEA, malam tadi, sebagai sesuatu yang amat menyakitkan, namun perlu dijadikan pengajaran untuk masa depan.
Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan gagal menempah tempat ke final, menyebabkan Moses mengakui kegagalan menyudahkan peluang menjadi punca utama kekalahan itu.
“Dalam perlawanan terakhir ini, kami ada peluang tetapi gagal menyudahkannya.
“Walaupun selepas kad merah, kami tetap berjuang 100 peratus. Semua pemain memberikan sepenuh tenaga di atas padang. Cuma kami tidak berjaya menjaringkan gol,” kata Moses.
Keupayaan Thailand mengawal permainan jelas menonjol bagi Moses, yang merasakan kepercayaan pemain Malaysia tidak pernah luntur walaupun berdepan cabaran itu.
“Ia perlawanan yang sukar kerana kami bermain dengan 10 pemain dan memberikan segalanya.
“Walaupun selepas kad merah, semangat kami tidak luntur. Kami percaya masih boleh menang, tetapi Thailand tahu bagaimana memanfaatkan peluang mereka. Itu sesuatu yang perlu kami pelajari,” katanya.
Moses mengakui intensiti separuh akhir itu berada pada tahap yang jauh lebih tinggi.
“Intensitinya sangat tinggi, satu tahap yang sudah lama saya tidak hadapi.
“Saya sudah memberikan segalanya untuk pasukan, tetapi kami masih perlu memperbaiki aspek pertahanan dan serangan jika mahu bersaing dengan pasukan seperti Thailand,” katanya.
Kekalahan itu lebih perit buat Moses yang meluahkan perasaan emosinya mewakili negara dan terlepas peluang ke final.
“Kekalahan ini sangat menyakitkan. Ini negara saya sendiri dan tidak dapat membawa Malaysia ke final amat menyedihkan.
“Tetapi kami terima kerana ia tanggungjawab kami apabila gagal menjaringkan gol, gagal menyudahkan peluang. Kami ambil ini sebagai pengajaran,” katanya.
Moses turut mengimbas peluang lewat yang hampir mengubah keputusan perlawanan dan mengakui ia masih bermain di fikirannya.
“Jika saya berjaya menyudahkan peluang terakhir itu, mungkin kami boleh pergi ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti. Perasaan itu masih tersemat di hati saya,” katanya.
Menjelang perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Filipina pada Khamis, Moses percaya keupayaan menyesuaikan taktikal dan menghadapi perlawanan berintensiti tinggi menjadi kunci, sambil memuji ketua jurulatih, Nafuzi Zain atas panduan jelasnya meskipun berlaku perubahan daripada sistem kelab kepada pendekatan lebih defensif di peringkat kebangsaan.
“Kami akan menjadi lebih baik selepas ini. Ini satu proses pembelajaran,” katanya.
Thailand mara ke final bola sepak lelaki selepas menang 1-0 ke atas Malaysia dalam separuh akhir Sukan SEA di Stadium Rajamangala, malam tadi.
Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-16 apabila Aiman Yusuf Nabil dilayangkan kad kuning kedua selepas terlebih dahulu dilayangkan kad kuning pada minit keenam.
Thailand menjaringkan gol tunggal menerusi sepakan percuma Yotsakorn Burapha pada minit kelapan.
Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain selama lebih 70 minit, Malaysia kekal tersusun dan kompetitif namun gagal menemui gol penyamaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




