Mosquera ganti Tomiyasu, Arsenal perkukuh benteng

Mosquera ganti Tomiyasu, Arsenal perkukuh benteng

PERTAHANAN muda Valencia, Cristhian Mosquera kini dalam penerbangan ke Singapura bagi menyertai skuad Arsenal dalam siri jelajah pramusim sekali gus menghampiri penyudah perpindahannya ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain berusia 21 tahun itu telah diberikan kebenaran oleh kelab La Liga Sepanyol tersebut untuk bersama skuad The Gunners selepas persetujuan terma peribadi dicapai antara kedua-dua pihak.

Mosquera, yang merupakan pemain pertahanan skuad Bawah 21 Tahun La Roja, dijangka menjadi saingan baharu buat duo pertahanan tengah utama Arsenal, William Saliba dan Gabriel Magalhães.

Selain posisi bek tengah, Mosquera turut berupaya beraksi di posisi bek kanan, sekali gus dilihat sebagai pengganti kepada Takehiro Tomiyasu yang sebelum ini bersetuju menamatkan kontraknya secara bersama dengan kelab.

Setakat ini, Mosquera telah merekodkan 90 penampilan bersama pasukan utama Valencia, termasuk menjadi pemain tetap dalam kesebelasan utama musim lalu apabila beraksi penuh dalam 37 daripada 38 perlawanan La Liga.

Arsenal dijadualkan menentang AC Milan di Stadium Nasional Singapura pada Rabu, sebelum berdepan Newcastle United di venue sama pada Ahad.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu kemudiannya akan berkunjung ke Hong Kong bagi perlawanan menentang musuh setempat, Tottenham Hotspur, sebelum pulang ke London.

Scroll to Top