MOT kuatkuasakan Akta A1613 – Utusan Digital

MOT kuatkuasakan Akta A1613 – Utusan Digital

PUTRAJAYA : Menteri Pengangkutan menetapkan tarikh 15 Julai 2021 atau semalam sebagai tarikh Akta A1613 mula dikuatkuasakan selaras dengan subseksyen 1(2) Akta Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan) 2020 [Akta A1613].

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, tujuan pindaan kepada Akta 527 itu secara amnya adalah menambah baik undang-undang sedia ada dan menjadikan ia selari dengan peruntukan-peruntukan di dalam instrumen antarabangsa berkaitan.

Katanya lagi, sebelum Akta A1613, peruntukan-peruntukan di dalam Jadual Pertama kepada Akta 527 adalah mengadaptasi peruntukan-peruntukan di dalam Hague Rules.

“Hague Rules merupakan undang-undang antarabangsa yang bertujuan menyelaras hak dan tanggungjawab berhubung perdagangan laut.

“Memandangkan Hague Rules terlalu lama dan lapuk, tatacara yang diperuntukkan di dalam instrumen ini dilihat tidak lagi selaras dengan amalan global dalam industri perdagangan maritim semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah MOT lagi, bagi memperbaiki kelemahan tersebut, sektor maritim antarabangsa menerima pakai instrumen antarabangsa baharu iaitu Hague Visby-Rules dan Special Drawing Rights (SDR) Protocol.

“Secara asasnya Hague-Visby Rules dan SDR Protocol menambah baik prinsip dan piawai berkaitan liabiliti, tanggungjawab dan pampasan yang tetapkan di bawah Hague Rules tersebut.

“Perubahan ini dapat meningkatkan lagi struktur perundangan berkaitan liabiliti, pampasan dan dalam masa sama meningkatkan kepercayaan pemain industri di dalam transaksi pengangkutan barang melalui laut,” katanya.

Katanya lagi, perkembangan itu dapat memudahkan transaksi dan fasilitasi perdagangan melalui laut dari sudut perluasan jenis dokumentasi bagi mengikuti perkembangan amalan industri maritim antarabangsa semasa.

“Bagi mempertingkatkan perundangan domestik berhubung pengangkutan barang melalui laut, Akta 527 serta Jadual Pertama kepada Akta 527 telah dipinda selaras dengan Hague Visby-Rules dan SDR Protocol melalui Akta A1613 serta Perintah Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan Jadual Pertama) 2021 [P.U.(A) 305/2021] yang telah disiarkan di dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

“Pindaan Jadual Pertama ini juga berkuat kuasa serentak dengan Akta A1613 seperti siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U. (B) 363/2021,” katanya.

Akta A1613 diwartakan pada 4 Februari lalu bagi meminda beberapa peruntukan di dalam Akta Pengangkutan Barang Melalui Laut 1950 (Akta 527) termasuklah bagi memberi kuasa kepada Menteri Pengangkutan untuk meminda Jadual Pertama kepada Akta 527 tersebut melalui perintah yang disiarkan dalam Warta. -UTUSAN ONLINE

Scroll to Top