MOTAC kesan syarikat perniagaan pelancongan tanpa lesen di Perak

MOTAC kesan syarikat perniagaan pelancongan tanpa lesen di Perak

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenal pasti sebuah syarikat perniagaan pelancongan, yang disyaki menjalankan operasi tanpa lesen sah di Perak.

Menurut MOTAC, penemuan itu adalah hasil daripada 22 operasi yang dibuat pegawai penguat kuasa kementerian terbabit di beberapa lokasi utama seluruh negara dalam tempoh dua minggu, bulan ini ke atas 30 syarikat pelancongan dan empat premis penginapan.

Atas dasar itu, MOTAC mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan pelancongan meliputi pengangkutan, penginapan atau penganjuran pelancongan secara fizikal atau dalam talian, supaya memohon lesen dengan segera.

“Melalui operasi itu, sebanyak 13 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain pemeriksaan turut dilakukan terhadap 180 kenderaan dan 33 pemandu pelancong.

“Ia termasuk pemeriksaan terhadap entiti yang disyaki menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen sah dalam satu operasi yang dijalankan di Perak hasil maklumat awam,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Menurut MOTAC, kesalahan menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen sah boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Katanya, sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya.

“Operasi dibuat adalah selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepatuhan kepada undang-undang demi keadilan dan kesejahteraan bersama.

“MOTAC akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan pematuhan undang-undang pelancongan,” katanya.

Mengenai permohonan lesen, MOTAC berkata ia boleh dilakukan di pejabat negeri berdekatan sebelum tindakan perundangan yang tegas diambil.

“Kerjasama orang ramai dan pemain industri turut dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar peraturan melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://motac.spab.gov.my/eApps/system/index.do).

“MOTAC komited memastikan hanya penggiat industri pelancongan yang berlesen secara sah beroperasi demi kesejahteraan pelancong dan industri yang mampan dan inklusif berteraskan nilai MADANI,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top