Adelaide: MotoGP Australia akan berpindah dari litar pantai Pulau Phillip ke litar jalan raya baharu di Adelaide bermula 2027, menandakan satu perubahan besar dalam sejarah Grand Prix Australia. Litar ini dikatakan sebagai pertama seumpamanya yang dibina di tengah bandar.
Perjanjian awal antara MotoGP dan pihak berkuasa tempatan menetapkan perlumbaan akan berlangsung di Adelaide sehingga 2032, dengan perlumbaan sulung dijadual pada November tahun depan.
Penganjur menegaskan litar ini memenuhi piawaian keselamatan tertinggi untuk era moden sukan permotoran.
Reka bentuk litar jalan raya Adelaide sepanjang 4.195 kilometer (km) dengan 18 selekoh didedahkan oleh Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta, dan Ketua Menteri Australia Selatan, Peter Malinauskas.
Litar ini membolehkan penunggang mencapai kelajuan melebihi 340 km/j, sambil mengekalkan kawasan run-off luas untuk keselamatan.
Litar ini diinspirasikan daripada litar Adelaide yang pernah menjadi hos Formula 1 antara 1985 hingga 1995, namun diubah suai secara signifikan bagi memastikan keselamatan penunggang menjadi keutamaan.
“Memindahkan MotoGP ke Adelaide adalah satu mercu tanda penting dalam evolusi kejohanan kami.
“Peluang untuk membina litar khas di tengah bandar adalah unik dan membolehkan peminat lebih dekat dengan aksi,” kata Ezpeleta.
Pulau Phillip menjadi tuan rumah GP Australia sejak 1987 dan secara konsisten bermula 1997. Namun, cuaca ekstrem dan had kapasiti penonton, iaitu sekitar 37,000 pada hari perlumbaan, mendorong MotoGP mencari lokasi baru dengan kemudahan lebih baik dan bilangan penonton lebih ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




