am@hmetro.com.my
Dungun: “Motosikal arwah bergoyang sebelum hilang kawalan dan terbalik atas lebuh raya,” kata Muhammad Amirul Mazlan menceritakan detik kemalangan yang mengorbankan rakannya di Kilometer 342.9, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Hentian Rawat dan Rehat Paka, hari ini.
Dalam kejadian, jam 1.22 tengah hari itu, Muhammad Irfan Izzuddin Md Ahzli, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, ketika kejadian itu, dia bersama Muhammad Irfan Izzuddin dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor.
“Sebaik selepas makan tengah hari di Kuala Terengganu, kami terus bertolak ke Segamat kira-kira jam 12 tengah hari.
“Sebelum bertolak kami sudah bincang untuk menunggang motosikal secara santai kerana hari masih awal dan kami jangka akan sampai sekitar jam 7 petang di kampung,” katanya.
Katanya, dalam perjalanan itu, dia berada di depan Muhammad Irfan sambil sesekali melihat arwah di belakang.
“Sebaik tiba di kawasan Paka, saya dapati ‘handle’ motosikal Irfan bergoyang dan sebaik menoleh ke belakang, saya dapati motosikalnya sudah terbalik.
“Saya pusing motosikal dan bergegas mengangkat Irfan dan ketika itu saya nampak kepalanya berlumuran darah dan ketika itu saya rasa dia sudah meninggal,” katanya.
Muhammad Amirul berkata, arwah rakannya itu tidak menunjukkan sebarang perbuatan pelik sepanjang bersama di Terengganu.
“Kami berdua sebenarnya hanya suka-suka menemani rakan lain yang menghadiri himpunan RXZ Members 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu.
“Kami berdua memang tak pergi ke program itu sebaliknya hanya duduk berehat di sebuah inap desa yang kami sewa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd