Motosikal bertembung pacuan empat roda, suami isteri maut tercampak ke gaung

Motosikal bertembung pacuan empat roda, suami isteri maut tercampak ke gaung

am@hmetro.com.my

Tamparuli: Pasangan suami isteri maut tercampak ke gaung dari motosikal yang dinaiki mereka selepas bertembung pacuan empat roda berhampiran Kampung Kapa di Jalan Tamparuli-Ranau di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, mangsa dikenali Mustofa, 44, warga Indonesia yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dan dibonceng isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, warga tempatan, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda Ford Ranger Raptor, lelaki bersama seorang penumpang lelaki yang masing-masing berusia 30 tahun menghala ke arah Kota Kinabalu dari Ranau.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu itu cuba memintas kenderaan di hadapan mereka, namun bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri di laluan bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, pasangan suami isteri tercampak ke gaung, manakala motosikal mereka terseret di bawah pacuan empat roda hingga ke bahu kanan jalan.

“Psangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda luka cedera ringan dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan, mereka dibawa ke hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa pula dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuaran bagi bedah siasat,” katanya yang turut memaklumkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top