sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Pemain Pahang Rangers FC, Matheus Moura Batista kini muncul penjaring kedua terbanyak pasukan dengan 11 gol selepas melalui lapan perlawanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 musim 2025.
Jumlah berkenaan kurang satu gol daripada Felipe de Souza yang menyumbang 12 jaringan.
Di kedudukan ketiga penjaring terbanyak berpihak pada pemain tempatan, Ahmad Harith Naim Mohd Nasir dengan tujuh gol.
Bagi Moura, setiap perlawanan dia akan memburu jaringan dalam memastikan pasukan Pahang Rangers dapat mencatat kemenangan yang diharapkan.
Katanya, bukan mudah untuk menghasilkan gol namun sebagai pemain import dia tetap berusaha sedaya upaya memastikan impian menggegarkan jaring gol lawan berhasil.
“Sepanjang tujuh perlawanan pusingan pertama liga musim ini, perlawanan dengan pasukan TOT United FC pastinya tidak dapat dilupakan apabila saya berjaya menghasilkan empat gol untuk Pahang Rangers menewaskan lawan 7-2.
“Perlawanan pertama pusingan kedua bertemu KL City FC minggu lalu memberi peluang menambah koleksi jaringan apabila berjaya menyumbang dua gol selepas Pahang Rangers menang selesa 6-2,” katanya, di sini semalam.
Dia menambah, walaupun sentiasa memburu jaringan pada setiap perlawanan namun sebagai pemain dia tidak mengabaikan tanggungjawab bekerjasama dengan rakan sepasukan dalam menghasilkan gol.
Moura yang dilahirkan di Brazil berkata, peluang rakan menyumbangkan jaringan tidak perlu dinafikan, kemenangan pasukan perlu diutamakan berbanding siapa penjaring gol.
Tambahnya lagi, pusingan kedua MPFL yang bermula minggu lalu membuka lebih ruang untuknya menghasilkan jaringan, misi yang digalas pada perlawanan selepas ini untuk memastikan Tok Gajah mencatat kemenangan.
“Perlawanan pusingan kedua pada 31 Mei, Pahang Rangers berhadapan dengan TOT United FC di gelanggang lawan, rekod pertemuan sebelum ini berpihak pada kami 7-2.
“Saya berharap kemenangan berpihak pada Pahang Rangers dalam usaha memburu juara liga musim ini, kita kini berada di tangga kedua liga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya akan terus memburu jaringan pada setiap perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




