Lisbon: Jurulatih Benfica, Jose Mourinho menegaskan beliau mampu mengatakan tidak kepada Presiden Real Madrid, Florentino Perez sambil meredakan khabar angin mengenai kemungkinan kembali ke kelab gergasi Sepanyol itu.
Benfica kendalian Mourinho bakal menerima kunjungan Real Madrid pada aksi pusingan playoff Liga Juara-Juara pada Rabu ini, sebelum perlawanan timbal balik berlangsung di Santiago Bernabeu minggu depan.
Jurulatih Portugal berusia 63 tahun itu, yang pernah membimbing Madrid dari 2010 hingga 2013, memiliki klausa dalam kontraknya bersama Benfica yang membolehkan beliau meninggalkan kelab, sekali gus mencetuskan spekulasi Perez mungkin kembali mendapatkan khidmatnya musim depan.
Mourinho sebelum ini membawa Benfica mencatat kemenangan 4-2 ke atas Real Madrid kendalian Alvaro Arbeloa pada fasa liga Liga Juara-Juara, Januari lalu, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan bertemu semula dalam aksi playoff dua perlawanan.
“Bolehkah anda mengatakan tidak? Ya,” kata Mourinho kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau mampu menolak tawaran daripada presiden Madrid itu.
Mourinho mengakui mempunyai ‘persahabatan yang hebat’ dengan Perez serta hubungan yang kekal dengan Madrid, namun menjelaskan klausa pemutusan kontrak itu dipersetujui berikutan pilihan raya presiden Benfica yang dijadualkan berlangsung pada November 2025, beberapa minggu selepas beliau menandatangani kontrak.
“Saya sudah memberikan segala-galanya kepada Real Madrid, segala yang saya ada. Saya melakukan perkara baik, saya juga melakukan perkara buruk, tetapi saya memberikan segalanya tanpa berbelah bahagi dan itu sahaja.
“Apabila seseorang meninggalkan kelab dengan perasaan seperti itu, saya rasa hubungan itu sentiasa wujud… penyokong memandang tinggi terhadap saya dan itu sesuatu yang hebat, namun saya tidak mahu menggalakkan cerita yang sebenarnya tidak wujud.
“Satu-satunya perkara yang wujud ialah saya masih mempunyai satu tahun lagi dalam kontrak bersama Benfica. Ia kontrak istimewa kerana ditandatangani ketika tempoh pilihan raya,” kata Mourinho.
© New Straits Times Press (M) Bhd




