am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang penuh keberkatan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) menerusi TV3 dan Tonton terus mengukuhkan dominasi sebagai destinasi utama drama tempatan menerusi pelancaran kempen Ramadan Raya 2026 (RR2026): Jwanjih Drama.
Ia menandakan pembuka tirai rasmi kepada kempen RR2026 bertemakan ‘Sama-Sama Berkat’ yang bakal menghiasi televisyen serta platform penstriman terbabit sepanjang musim perayaan nanti.
Sebagai peneraju kandungan drama nombor satu negara, TV3 terus komited menyajikan naskhah berkualiti menyentuh emosi, sarat dengan nilai kekeluargaan serta dekat dengan realiti kehidupan penonton.
Selain penceritaan yang lebih bermakna dan memberi kesedaran menjadi fokus utama untuk menemani penonton.
Antara naskhah ‘heavyweight’ yang dijangka bakal mencetuskan fenomena dan tular di media sosial termasuklah di Slot Akasia iaitu Khianat Yang Terpilih, Samarinda: Kerana Cinta Itu Dusta, Lestary: Bila Cinta Menjadi Dosa dan Eksklusif Tonton: Anugerah Tanpa Cahaya.
Lebih menarik, barisan drama bagi kempen RR2026 ini bukan sahaja mempertaruhkan plot cerita yang kuat, malah menghimpunkan barisan bintang popular kegemaran ramai serta pelakon berpengalaman merentas generasi.
Majlis pelancaran di TGV Suria KLCC, hari ini, turut dimeriahkan dengan pengenalan antara barisan pelakon dan teraju utama drama selain dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsudin.
Kehadiran naskhah ini sekali gus membuktikan kedudukan TV3 dalam menguasai pasaran kandungan drama setiap kali tibanya musim perayaan, selain menjadi ruang buat masyarakat untuk menghargai erti kebersamaan.
Kempen ‘Sama-Sama Berkat’ diharapkan dapat memberi impak positif kepada penonton, bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi juga sebagai cerminan cabaran dan keinsafan dalam menempuhi kehidupan seharian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




