MPI terima RM1.2 Juta tajaan untuk Majlis Wartawan Malaysia 2025

MPI terima RM1.2 Juta tajaan untuk Majlis Wartawan Malaysia 2025

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Sokongan korporat terhadap kewartawanan berkualiti terus utuh apabila Petronas tampil sebagai penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024 (HKM 2024) dengan sumbangan RM450,000.

Ia sebahagian daripada tajaan keseluruhan berjumlah RM1.25 juta yang dikumpul Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi menjayakan acara berprestij itu bersama Majlis Wartawan Malaysia 2025 (MWM 2025), yang akan berlangsung 20 Jun ini.

Sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif penganjuran bersama HKM 2024 dan Majlis Wartawan Malaysia 2025 (MWM 2025) yang dijadual berlangsung di Hotel Majestic, di sini, pada 20 Jun depan.

Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata, baki RM799,500 sumbangan diperoleh daripada 51 penaja lain termasuk badan korporat, kementerian, agensi kerajaan dan organisasi media.

“Dana ini akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan penganjuran MWM 2025 serta majlis penyampaian anugerah HKM 2024 mencapai standard tertinggi, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang kewartawanan,” katanya pada Majlis Meraikan Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2025, di sini, semalam.

Sebagai simbolik penghargaan, wakil penaja menyerahkan replika cek kepada MPI sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh ekosistem media tanah air.

Dalam majlis sama, Yong turut melancarkan penerbitan kenang-kenangan pertama MPI berbentuk coffee table book yang mengangkat legasi serta sumbangan penaja utama terhadap pembangunan industri kewartawanan.

“Inisiatif coffee table book ini juga bertujuan menyokong wartawan yang diberhentikan kerja, ramai antara mereka menyumbangkan kepakaran dalam penerbitan buku itu.

“Ramai profesional berbakat yang dahulunya menjadi tunjang bilik berita ternama menyumbang pandangan mereka dalam projek ini. Suara mereka kini akan diabadikan, terus membentuk naratif dan memaklumkan wacana awam,” katanya.

HKM 2024 menerima 548 penyertaan daripada pengamal media dalam 21 kategori, meningkat 60 penyertaan berbanding tahun lalu.

Kategori Kewartawanan Foto Terbaik mencatat penyertaan tertinggi iaitu 79, diikuti Berita Video Terbaik (65) dan Podcast Video Terbaik (46).

Sebagai usaha memperkukuh hubungan antara industri media dan pihak berkepentingan, MPI turut menganjurkan sesi dialog awam bertajuk ‘Ruang dan Peluang Liputan Media’, yang memberi ruang kepada penaja dan penyumbang berkongsi pandangan bersama panel profesional.

Panel itu terdiri daripada Yong, Ahli Majlis MPI dan Ketua Pengarang Sinar Harian Zambri Rambli serta Ketua Komersial Bernama, Mastura Hassan.

Sesi itu dikendalikan Timbalan Presiden MPI yang juga Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Media Prima Berhad (MPB), merangkap Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim.

Bagi penganjuran MWM 2025 tahun ini, MPI turut menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top