MPOB, IBG perkenal baja elak penyakit kulat sawit

MPOB, IBG perkenal baja elak penyakit kulat sawit

MACHAP – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama IBG Manufacturing Sdn. Bhd. telah melaksanakan ujian ke atas inovatif terbaharu, baja bio IM-bioGuard.

Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, pengenalan baja ini merupakan satu tonggak penting dalam usaha meredakan kerosakan ganoderma terhadap kelapa sawit.

Baja bio iM-bioGuard ini diperkaya dengan bakteria pseudomonas yang mampu menangani patogen kulat ganoderma bonisense, iaitu penyebab kepada penyakit reput pangkal batang (BSR).

BSR merupakan masalah serius dalam industri sawit negara di Malaysia dan Indonesia, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM 1.5 bilion setiap tahun.

“Saya berharap ujian pertama yang dijalankan bersama United Malacca Berhad (UMB) ini dapat meningkatkan ketahanan tanaman sambil mengamalkan amalan mampan yang mesra alam sekitar,” kata Chan ketika demonstrasi pertama di Ladang Machap, milik UMB pada Khamis lalu.

Ketua Unit Patologi Tumbuhan & Biosekuriti, Dr. Mohd Hefni Rusli berkata, formulasi ini telah diuji secara meluas untuk membuktikan keberkesannya dalam usaha mengawal jangkitan Ganoderma.

“Rantaian berjangkit penyakit ini sukar untuk diputuskan walaupun ianya merebak secara perlahan kerana patogen akan merebak melalu sentuhan akar ke akar yang akan membawa kepada kerosakan site xilem kelapa sawit dan menyebabkan kematian pokok.

“Kerjasama MPOB dan IBG Manufacturing ini menunjukkan satu pendekatan bersatu dalam memajukan kelestarian dan menjamin masa depan industri kelapa sawit Malaysia,” katanya lagi.

Rombongan yang diketuai oleh Chan ini juga telah menyaksikan operasi penuaian inovatif UMB dan teknik pengutipan buah tandan segar (BTS) bermekanisasi di ladang estet.

Komitmen ladang ini terhadap kelestarian penggunaan tanah turut dipamerkan melalui projek intergrasi tanaman, termasuk tanaman stevia dan lada, melalui nasihat dan sokongan teknikal dari agensi yang berkenaan seperti Lembaga Lada Malaysia (MPB). – MalaysiaGazette