MPS janji tambah baik kutipan

MPS janji tambah baik kutipan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan menambah baik mutu perkhidmatan kutipan sampah di sekitar laluan utama ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, hasil semakan mendapati, kawasan yang didakwa berlaku longgokan sampah adalah di sekitar jalan menghala ke UIAM bermula dari simpang tiga Masjid Al-Sharif sehingga pintu masuk nombor tiga universiti itu.

“MPS mengambil maklum mengenai aduan ini dan akan menambah baik mutu perkhidmatan kutipan sampah.

“Antaranya penambahan lori kutipan dan pertukaran tong sampah selaras dengan kontrak kutipan sampah domestik dan pukal baru yang akan bermula 1 Mac depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai aduan penduduk yang tinggal di sekitar jalan utama menuju ke UIAM meminta agar masalah longgokan sampah di bahu jalan sehingga menjejaskan pemandangan persekitaran agar diambil tindakan.

Penduduk mendakwa keadaan itu turut menjejaskan kesihatan penduduk, selain menjadikan kawasan itu kawasan panas kes demam denggi.

Adi Faizal berkata, MPS ada menyediakan beberapa pusat tong sampah di Jalan Gombak sehingga Seri Selera Sg Pusu dan Medan Selera Sg Pusu untuk kegunaan penduduk setempat.

“Jadual kutipan sampah di pusat tong berkenaan setiap hari bagi sampah domestik dan dua kali seminggu bagi sampah pukal antara 6 pagi.

Menurutnya, MPS melalui KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) selaku konsesi pengurusan sisa pepejal yang dilantik sentiasa memastikan pusat tong sampah di kawasan itu dikutip dan dibersihkan mengikut jadual ditetapkan.

“Bagaimanapun, masalah longgokan mungkin berlaku kerana jumlah sisa pepejal tinggi di kawasan itu.

“Mengenai kebersihan dan penyelenggaraan di bahu dan sepanjang jalan, ia berada di luar kawasan penyelenggaraan MPS,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top