am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Pelanggan sebuah bank di pekan Tanjong Karang gempar apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) ‘meluncur masuk’ ke dalam premis itu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 9 malam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 8.50 malam di kawasan parkir hadapan bank itu.
“Kemalangan berlaku ketika Toyota Innova dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun cuba berhenti di petak parkir namun tertekan pedal minyak.
“Insiden itu menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan dan melanggar dinding kaca bank,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azaharudin berkata, pemandu MPV itu yang cedera ringan di tangan dan lutut menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd