‘Mr. P2’ akhirnya muncul juara di Aragon

‘Mr. P2’ akhirnya muncul juara di Aragon

PETALING JAYA: Hakim Danish Ramli terpaksa menunggu sehingga perlumbaan keenam untuk dia bergelar juara pada Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Motorland Aragon, Sepanyol, hari ini.

Kejayaan tersebut cukup manis buat pelumba berusia 17 tahun itu selepas mendapat jolokan Mr.P2 gara-gara dalam lima perlumbaan sebelum ini Hakim Danish muncul sebagai naib juara, tetapi kali ini dia mengubah keputusan itu sebagai juara dengan catatan masa terpantas 26 minit 52.773 saat (s).

Pencabar terdekatnya, Brian Uriarte dari Sepanyol mengambil kedudukan kebiasaan yang Hakim Danish catat dalam perlumbaan-perlumbaan sebelum ini sebagai naib juara (26:52.961s), manakala, tempat ketiga menjadi milik seorang lagi penunggang Sepanyol, David Gonzalez (26:52.968s).

Anak jati Kuala Terengganu itu yang mengekalkan prestasi konsisten sepanjang musim ini selepas mencatat keputusan enam podium kesemuanya melengkapkan saingan perlumbaan 1 yang berlangsung, kelmarin, di kedudukan kedua.

Hakim Danish yang mendahului perlumbaan 1, dipintas pada saat akhir oleh Uriarte yang mencatat masa terpantas 26:38.204s untuk menjuarai perlumbaan tersebut dengan hanya dipisahkan 0.007s.

Keputusan tersebut turut menyaksikan Hakim Danish kekal mengungguli carta Piala RedBull MotoGP Rookies selepas mengumpul 125 mata, manakala, Uriarte dengan 95 mata dan Benat Fernandez dari Sepanyol mengutip 63 mata.

Sewaktu ditemu bual sebaik perlumbaan berakhir, Hakim Danish berkata, akhirnya dia berjaya juga muncul juara dan perlumbaan tersebut berlangsung dengan cukup menakjubkan.

“Saya akui perlumbaan ini agak sukar, tayar saya turut terjejas sedikit dalam usaha saya mengejar kejuaraan dan saya bersyukur akhirnya berjaya meraih kemenangan,” katanya.

Secara kebetulan, kejayaan manis yang dilakar Hakim Danish berlaku pada ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat Malaysia dan saya akan teruskan momentum kejayaan ini di Mugello,” katanya.

Perlumbaan seterusnya di Litar Mugello, Itali iaitu perlumbaan pusingan keempat akan diadakan pada 21 dan 22 Jun ini.-UTUSAN

Scroll to Top