kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: MR TOY, jenama runcit khusus untuk permainan di bawah Kumpulan MR DIY (M) Berhad, memperkenalkan kedai konsep serba baharu di pusat beli-belah MyTOWN.
Ia menampilkan transformasi meriah dan penuh imaginasi untuk menggembirakan kanak-kanak, ibu bapa serta peminat permainan yang berjiwa muda.
Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR DIY, Alex Goh berkata, versi baharu MR TOY ini bukan sekadar kedai permainan, ia adalah ruang di mana imaginasi menjadi nyata.
“Sama ada anda seorang kanak-kanak, ibu bapa atau sekadar berjiwa muda, kami sudah mencipta ruang yang menyeronokkan, menginspirasikan dan penuh kejutan.
“Ia mencetuskan kegembiraan, merangsang kreativiti dan mencipta kenangan di mana semuanya pada harga berpatutan yang sentiasa kami tawarkan kepada pelanggan,” katanya di majlis pelancaran kedai konsep baharu MR TOY di sini, semalam.
Dilancarkan pada 2019, MR TOY sudah membina pengikut setia menerusi pelbagai pilihan permainan yang berkualiti, pada harga yang berpatutan.
Kedai konsep baharu ini mengekalkan asas terbabit, namun memperkenalkan susun atur dan gaya baharu yang menarik lebih seronok, menarik dan disusun mengikut zon bertema untuk mencetuskan imaginasi dan menjadikan pengalaman membeli permainan menyeronokkan dan intuitif.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai produk menarik, dari figura koleksi dan anak patung gebu hingga ke robot, kereta kawalan jauh, kotak kejutan misteri serta kelengkapan parti, merangkumi pelbagai kategori permainan.
Rekaan cawangan baharu ini memudahkan pelanggan mencari sesuatu yang istimewa untuk setiap jenis permainan.
Selain itu, mengiktiraf hakikat bahawa permainan tidak mengenal usia, MR TOY juga meraikan ‘kidult’untuk golongan dewasa yang meminati permainan, pengumpul koleksi permainan dan yang gemar mengimbau nostalgia.
Bagi meraikan pembukaan kedai konsep baharu itu, MR TOY turut menganjurkan acara pembukaan istimewa selama empat hari dari 3 hingga 6 Julai 2025 di premis di MyTOWN dengan menampilkan misi CEO Mini (ambil gambar, kongsikan di media sosial dan berpeluang menjadi CEO kehormat MR TOY).
Selain itu, terdapat sudut Yum Yum ditawarkan di mana pelanggan boleh menikmati aiskrim atau gula kapas percuma dengan setiap pembelian.
Jika berbelanja minimum RM50, pelanggan berpeluang bawa pulang patung ikan lumba-lumba dan beg jerut eksklusif.
Selain itu, mereka boleh dapatkan hadiah tersembunyi menerusi tarik lolipop.
Dengan 59 cawangan di seluruh negara, MR TOY menjadi salah satu tonggak utama dalam keluarga jenama runcit Kumpulan MR DIY yang semakin berkembang, termasuk MR DOLLAR, MR DIY Express, MR DIY PLUS dan EMTOP.
© New Straits Times Press (M) Bhd