am@hmetro.com.my
Shah Alam : Pemaju hartanah, MRF Consultant (M) Sdn Bhd (MRF) dan pengasasnya, Datuk Seri Siti Nur Atiqah Baba menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pihak yang didakwa memfitnahnya membabitkan beberapa isu terutama tuduhan kes di mahkamah.
Jurucakapnya, Mohd Fauzi Md. Fadzil berkata, perkara itu ditujukan kepada semua pihak berkepentingan serta mana-mana yang disifatkan berpengaruh membuat kenyataan berhubung tuduhan kes di mahkamah.
“Ini bagi membersihkan nama baik Siti Nur Atiqah dan pihak berkaitan yang mempunyai hubung kait dengan MRF sebelum ini sehingga MRF dan Datuk Seri (Siti Nur Atiqah) menanggung kerugian yang besar.
“MRF menyatakan bahawa pengasas syarikat ini didapati tidak terbabit dengan kesalahan jenayah dan tidak disabitkan dengan mana-mana jatuh hukuman yang dikenakan terhadapnya.
“Datuk Seri memberikan kerjasama yang sangat baik serta akur dengan segala arahan yang berkuat kuasa ke atas beliau sepanjang prosiding mahkamah berjalan,” katanya dalam sidang media berhubung perkara itu di Setia Alam di sini, semalam.
Hadir sama, Siti Nur Atiqah, suami dan peguamnya.
Katanya, tuntutan permohonan maaf itu juga merujuk kepada kerugian pemohon projek Rumahku Syurgaku (RKSK), senarai calon penerima pakej umrah serta lain-lain lagi yang kerugian menerima manfaat daripada MRF.
“MRF bersetuju untuk melaksanakan semula projek RKSK dengan peraturan baru dengan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Pelaksanaan akan dijalankan setelah semua kelulusan dan dokumentasi lengkap diterima daripada pihak berkaitan,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, berhubung isu sumber kewangan MRF pula, MRF menegaskan sumber kewangan syarikat adalah sumber yang jelas dan sudah disiasat oleh pihak berkuasa kerajaan di bawah Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“MRF menerima dokumen pengesahan perintah pembatalan penyitaan dibawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001 (ΑΚΤΑ 613),” katanya.
Menurutnya, sebelum ini Siti Nur Atiqah memberikan tempoh yang panjang kepada pihak berkaitan perkara ini melalui satu kenyataan media rasmi pada 11 Januari lalu agar membuat permohonan maaf kepada beliau.
“Namun tidak ada mana-mana pihak yang tampil untuk membuat permohonan maaf itu.
“Bermula dari kenyataan ini dikeluarkan MRF bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada mana-mana pihak yang masih lagi tidak memadamkan posting perkara yang dimaksudkan di atas sama ada gambar, kenyataan melalui pelbagai media akan diambil tindakan dan saman dari pihak MRF.
Justeru itu katanya, MRF bertegas untuk mengambil tindakan kepada penyebaran fitnah di media sosial membabitkan MRF termasuk berkaitan pemilik MRF sendiri.
“Demikian juga, Pengurusan MRF turut menuntut permohonan maaf dari mana-mana pihak secara terbuka agar nama baik MRF dan pemilik MRF dapat dibersihkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd