MRSM boleh digunakan jika PPS penuh – TPM

MRSM boleh digunakan jika PPS penuh – TPM

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan sekiranya PPS sedia ada sudah penuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kelantan mempunyai 550 PPS untuk kegunaan bencana banjir.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana putuskan bagi kawasan yang PPS sudah penuh, kebenaran khas diberikan untuk membuka PPS baru di MRSM.

“Ia termasuk MRSM di Tumpat. Setakat ini di Kelantan PPS yang berdaftar adalah sebanyak 550 PPS,” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menghantar khemah yang terdapat di negeri yang belum mengalami banjir ke Kelantan.

“Saya dapat maklumat terdapat kekurangan khemah dan saya sudah mengarahkan NADMA supaya menghantar segera khemah berkenaan.

“Khemah di negeri yang belum dilanda banjir perlu dihantar ke Kelantan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top