hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan meneroka peluang pelaksanaan penyelesaian tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan tenaga serta memperkukuh kebolehpercayaan infrastruktur elektrik bagi projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link).
Menurut kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama hari ini, kerjasama strategik itu turut merangkumi usaha menyokong mobiliti hijau, dengan pelaksanaan awal penerokaan tertumpu di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta Depoh Wadi Hana.
Katanya, MoU berkenaan merangkumi tiga bidang utama, iaitu penyelesaian tenaga solar, pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti hijau serta kebolehpercayaan sistem elektrik dan perkhidmatan penyelenggaraan.
“Bagi penyelesaian tenaga solar, kedua-dua pihak akan meneroka peluang pembangunan dan pelaksanaan sistem tenaga boleh baharu di premis serta aset yang bersesuaian.
“Ia turut merangkumi penilaian inisiatif penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan kos operasi, sekali gus menyokong pengurusan infrastruktur yang lebih cekap dan mampan.
“Dalam aspek mobiliti hijau, kerjasama itu akan menilai potensi penyediaan kemudahan pengecasan EV di premis MRT Corp terpilih bagi melengkapi kemudahan pengangkutan awam serta menggalakkan penggunaan pilihan mobiliti mampan,” katanya.
Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Kuala Lumpur.
Pertukaran dokumen disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Shamsul Ahmad, dengan disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Kedua-dua organisasi juga akan meneroka peluang meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan dan daya tahan operasi sistem elektrik serta set janakuasa yang menyokong kemudahan infrastruktur rel kritikal.
Sementara itu, Mohd Zarif berkata, keutamaan MRT Corp kini bukan sekadar menyiapkan pembangunan infrastruktur, tetapi memastikan kemudahan yang dibangunkan diurus secara cekap, berdaya harap dan mampan.
Beliau berkata, tanggungjawab MRT Corp untuk mengendalikan Depoh Wadi Hana, Kompleks ICQ dan Stesen RTS Bukit Chagar menjadikan prestasi operasi serta nilai jangka panjang aset semakin penting.
“Hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan TNB memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan projek rel kami.
“Kini, kami membawa hubungan tersebut ke tahap yang lebih strategik dengan mengintegrasikan kepakaran tenaga TNB dalam pengoperasian dan pengurusan kemudahan kritikal ini,” katanya.
Mohd Zarif berkata, langkah itu membolehkan MRT Corp meneroka penyelesaian praktikal bagi meningkatkan kecekapan tenaga, memperkukuh daya tahan operasi serta memastikan komitmen kemampanan diterjemahkan kepada manfaat yang boleh diukur sepanjang tempoh operasi aset.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, bekalan elektrik yang boleh dipercayai menjadi asas penting bagi memastikan kelancaran operasi infrastruktur pengangkutan awam.
“Menerusi kerjasama ini, TNB berhasrat untuk meneroka penyelesaian tenaga bersama MRT Corp yang dapat meningkatkan kecekapan tenaga, memperkukuh daya harap bekalan elektrik serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di kemudahan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, MoU itu menyediakan kerangka untuk kedua-dua organisasi meneroka peluang kerjasama lebih luas, khususnya memanfaatkan penyelesaian tenaga bagi meningkatkan nilai dan kecekapan operasi infrastruktur.
Kerjasama itu juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya dalam aspek pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu dan penyelesaian tenaga lebih cekap.
Pemilihan RTS Link sebagai titik permulaan kerjasama itu menyusul pencapaian projek berkenaan yang baru-baru ini menerima penarafan lima bintang Sustainable INFRASTAR daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Kerjasama strategik berkenaan turut menjadi kesinambungan hubungan kerja MRT Corp dan TNB dalam pembangunan projek MRT1, MRT2, Laluan Mutiara Pulau Pinang serta RTS Link.
© New Straits Times Press (M) Bhd


![[TERKINI] Pelajar 16 tahun serang guru dipercayai bawa kapak dan mercun ke sekolah [TERKINI] Pelajar 16 tahun serang guru dipercayai bawa kapak dan mercun ke sekolah](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kapk_HMfield_image_socialmedia.var_1792576014.jpg)
