
Kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook MSP pada Rabu.
MAJLIS Sukan Pahang (MSP) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat untuk menjual pakaian rasmi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang melalui platform media sosial, termasuk Facebook.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook MSP pada Rabu, pihaknya mengesan terdapat beberapa hantaran mendakwa menjual pakaian rasmi Sukma kononnya atas nama MSP.
“Pihak MSP menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam sebarang aktiviti jualan tersebut dan ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati serta tidak terpedaya dengan tawaran-tawaran yang meragukan,” kata kenyataan itu.
Jelas MSP, sebarang urusan melibatkan penjualan atau pengedaran pakaian rasmi Sukma hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi sahaja, termasuk laman web dan media sosial rasmi MSP.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau diragui diminta untuk melaporkan terus kepada pihak MSP di talian rasmi kami atau melalui e-mel rasmi bagi mengelakkan sebarang penipuan,” tambahnya.