ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) melalui syarikat milik penuhnya, MKD Signature Sdn Bhd (MSSB), masih memegang 51 peratus saham dalam pemilikan menara Exchange 106.
Kementerian Kewangan memaklumkan, MSSB masih menjadi pemegang saham utama dalam Mulia Property Development Sdn Bhd (MPDSB) yang memiliki menara setinggi 106 tingkat itu, iaitu sebahagian Projek Tun Razak Exchange (TRX).
Kementerian itu menegaskan tidak wujud sebarang perjanjian penjualan saham kepada mana-mana pihak seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
“MSSB mengambil alih 51 peratus saham dalam MPDSB pada 19 Julai 2017 daripada Mulia International Limited (MIL), manakala 49 peratus saham masih dimiliki oleh MIL.
“Keputusan pembabitan MSSB dalam pembangunan Exchange 106 pada waktu itu dibuat bagi memelihara kepentingan projek TRX yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ia berikutan kesukaran MPDSB mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek berkenaan.
“Penjualan saham MSSB dalam syarikat MPDSB tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pemegang Saham yang dimeterai pada 2017.
“(Melalui perjanjian itu), MIL mempunyai hak melaksanakan Call Option untuk membeli semula 51 peratus saham MSSB pada harga dipersetujui dan selepas menjelaskan pinjaman yang diberikan oleh MSSB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, media yang memetik Pengerusi Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB), Ilyas Mohamed, dilaporkan berkata, koperasi itu kini memiliki 51 peratus saham dalam pemilikan menara Exchange 106 di TRX.
Ilyas dilaporkan berkata, perjanjian membabitkan pembelian pegangan itu ditandatangani lebih setahun lalu, namun perinciannya akan dimuktamadkan menjelang Jun depan.
Menara Exchange 106 mula bina pada 2016 dan menawarkan ruang kosong bebas terbesar di Malaysia, termasuk ruang pejabat 22,000 hingga 34,000 kaki persegi.
Ia akan membolehkan susun atur yang fleksibel dan pelan reka bentuk dalaman terbuka kepada penyewa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




