MSU agih RM120,000 wang zakat dan duit raya

MSU agih RM120,000 wang zakat dan duit raya

syazrina@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebanyak RM120,000 wang zakat dan duit raya diserahkan oleh Management and Science University (MSU) melalui Yayasan MSU kepada 20 rumah kebajikan dan 200 anak yatim di sekitar Lembah Klang dalam Majlis Iftar serta Penyerahan Zakat Anak-Anak Yatim 2026.

MSU dalam kenyataan berkata, majlis itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada program MSU Ihya Ramadan 2026 yang diadakan di Dewan Canselor, kampus induk MSU, di sini, baru-baru ini.

Katanya, presiden dan pengasas MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid menyempurnakan majlis dan menyerahkan sumbangan daripada Yayasan MSU kepada rumah kebajikan serta penghuninya.

“Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan ialah Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Pusat Jagaan Amal Asyura dan Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah.

“Majlis turut menyantuni lima rumah kebajikan baharu iaitu Pertubuhan Kebajikan Raudhatul Al-Faeez, Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Miskin Sg. Pinang, Klang, Pertubuhan Pendidikan dan Pembangunan Sosial Ibn Battuta, serta Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia.

“Hubungan MSU dengan rumah kebajikan ini terjalin sejak 2011 dan berterusan sehingga kini, membabitkan pengagihan dana bantuan serta pembabitan warga kampus dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Hadir sama, Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid, Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof, pengurusan kanan universiti serta wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.

Dalam pada itu, MSU menambah, majlis penyerahan zakat dan duit raya ini adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmennya dalam memenuhi tanggungjawab sosial serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi ‘2G Culture’ di kalangan warga kampus dan masyarakat.

Katanya, program MSU Ihya Ramadan 2026 itu turut menyaksikan, pelaksanaan lebih 657 aktiviti membabitkan warga kampus, komuniti setempat dan komuniti antarabangsa sepanjang Ramadan.

“Antara golongan yang disantuni ialah anak yatim, golongan asnaf, mualaf, kategori B40, orang Asli, petugas barisan hadapan, pelajar MSU dan Kolej MSU, pelajar sekolah serta rakan industri.

“Program Ihya Ramadan 2026 dilaksanakan mengikut lima teras utama iaitu RamadanCare, RamadanShare, RamadanRecharge, RamadanVibes dan RamadanConnect,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top