MTEN teliti kesan krisis tenaga global, fokus lindungi rakyat – PM

MTEN teliti kesan krisis tenaga global, fokus lindungi rakyat – PM

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bersidang hari ini meneliti kesan krisis tenaga global dengan fokus utama melindungi rakyat dan menjamin keterjaminan bekalan strategik negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan terus diperkukuh melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat serta pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan MADANI juga memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi,” katanya dalam catatan di Facebook.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi jangka panjang, kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan dan merangka dasar menyeluruh melalui MyMedSecure.

Beliau berkata MTEN turut meneliti operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan mereka.

Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab untuk mengurus krisis tenaga global dengan berkesan serta memastikan rakyat dilindungi manakala negara kekal berdaya tahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top