MTHQA65: Tuah penyertaan kedua Aiman, suara Wan Sofea serak ketika bertanding

MTHQA65: Tuah penyertaan kedua Aiman, suara Wan Sofea serak ketika bertanding

Kuala Lumpur: Penyertaan kali kedua Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai johan kategori qari pada edisi ke-65.

Aiman, 27, yang berasal dari Taiping, Perak berkata, kemenangan itu adalah pencapaian terbesar dalam kariernya selepas kali pertama mewakili negara pada 2022.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah Subhanahuwataala, saya rasa sangat teruja dan gembira… ini memang kali pertama saya johan antarabangsa di mana-mana negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah MTHQA ke-65 di sini malam ini.

Mula menyertai tilawah sejak berusia 15 tahun, Aiman berkata beliau banyak menimba ilmu daripada qari yang pernah mewakili Malaysia dan juga antarabangsa.

“Saya teruskan belajar dan berjumpa dengan johan-johan qari antarabangsa, banyak mereka mengajar saya dan saya juga membina hubungan dengan qari Iran dan Indonesia, mereka pun berkongsi dengan saya ilmu-ilmu taranum,” katanya.

Menyentuh mengenai persediaan untuk tilawah kali ini, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, beliau melakukan penambahbaikan daripada segi bacaan, tajwid, sebutan huruf, suara serta olahan taranum bagi memastikan persembahan diterima baik oleh para hakim.

Johan bagi kategori qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, 31, pula berkata, dorongan ahli keluarga, guru agama dan sahabat menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berjuang meskipun keadaan kesihatannya tidak begitu memuaskan.

“Dari awal lagi, mereka sentiasa menyokong saya supaya jangan berhenti berjuang sehinggalah sampai ke tahap ini,” katanya.

Peserta berasal dari Kelantan itu berkata, beliau diuji masalah kesihatan dua hari sebelum bertanding apabila diserang selesema dan suara menjadi serak.

“Kalau dengar persembahan saya, suara saya sedikit berbeza namun Alhamdulillah, saya dapat menempuhinya dan segalanya berjalan lancar,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’, MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top