MTL: Jangan hampiri kawasan pantai, rekreasi – Polis

MTL: Jangan hampiri kawasan pantai, rekreasi – Polis

am@hmetro.com.my

Dungun: Polis meminta orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai termasuk kawasan rekreasi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda Terengganu termasuk daerah ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan penduduk daripada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, MTL membawa ombak besar, angin kencang dan hujan lebat yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung pantai serta kawasan rekreasi berhampiran sungai.

“Kita minta orang ramai mematuhi arahan ini demi keselamatan diri dan keluarga dan kita juga meminta masyarakat mengelakkan aktiviti riadah di pantai termasuk mandi laut, memancing atau berkelah.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak menghampiri kawasan sungai yang berarus deras serta sentiasa patuh pada papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa,” katanya.

Maizura berkata, ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak dan tidak membenarkan anak-anak bermain di kawasan berisiko.

“Pihak polis akan mempertingkatkan rondaan di kawasan pantai popular seperti pantai Teluk Lipat, Pantai Tanjung Jara dan kawasan rekreasi Sungai di daerah ini.

“Kita merayu kepada orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan ini supaya masyarakat sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan berbanding keseronokan sementara,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga diminta mengikuti perkembangan cuaca melalui saluran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top