SHAH ALAM – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Itu yang boleh digambarkan terhadap penulis buku ‘Muar Then You Know’, Lilian Low, 77, apabila dapat menyiapkan buku autobiografi kisah kehidupan individu dan tokoh dari Muar yang berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Buku yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan itu menceritakan tentang perjalanan 23 individu yang berdepan pelbagai halangan bagi mencapai cita-cita hingga menjadikan mereka terkenal dalam bidang diceburi.
Antara individu yang ditulis dalam buku tersebut iaitu bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin’ Pengasas I-City, Tan Sri Lim Kim Hong; Allahyarham Tun Arshad Ayub; Pengerusi Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan bekas Menteri Kesihatan, mendiang, Datuk Dr Chua Jui Meng.
Menurut Lilian, semasa buku itu ditulis ramai yang berbisik kepadanya agar tidak meneruskan hasratnya itu dengan memberikan alasan ia sukar disiapkan.
Ini kerana katanya, untuk menyiapkan buku seperti ini ia perlu dilakukan kajian terhadap setiap orang yang hendak direncanakan di dalam penulisannya.
“Ramai yang cakap tak perlulah buat buku ini sebab susah, sebab libatkan banyak sangat orang.
“Namun, saya tetap juga teruskan tulis buku ini sebab saya mahu dedahkan kejayaan individu-individu tersebut.
“Lagipun, sebelum buku ini diterbitkan ia perlu dibaca terlebih dahulu oleh individu yang diintebiu dan selepas mendapat kelulusan barulah ia boleh diterbitkan,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran buku berkenaan di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Mengulas lanjut, Low berkata, beliau banyak membuat kajian terhadap individu-individu yang ditampilkan di dalam buku berkenaan hingga ada diantaranya yang mencapai kejayaan luar biasa.
Katanya, beliau sangat berharap agar buku yang diterbitkan itu akan mendapat sambutan pembaca dalam kalangan berusia supaya mereka dapat mengingati individu dan juga tokoh-tokoh yang ditampikan sebagaimana pengalaman yang pernah dilalui mereka bersama sebelum ini.
Sementara itu, Johan ketika ditemui menyifatkan buku tersebut sangat menarik perhatiannya kerana ia menceritakan berkenaan perjalanan kehidupan tokoh-tokoh dan juga orang biasa yang akhirnya dapat membina kejayaan.
Katanya, buku tersebut mampu menjadi sumber inspirasi kepada golongan berusia dan juga golongan muda agar dapat mengenali tokoh-tokoh yang memiliki disiplin dalam bidang masing-masing.
“Apa yang penting isi kandungan dalam buku ini bukan sahaja menceritakan tentang tokoh-tokoh dari sebuah bandar kecil yang dianggap sebagai bandar pencen, bandar yang menjadi sebahagian daripada sejarah negeri Johor.
“Tetapi, apa yang lebih penting adalah semangat personaliti ataupun tokoh-tokoh yang dipilih itu. Mereka kebanyakannya berasal daripada orang biasa, rakyat biasa…tetapi, mereka mencapai kejayaan yang luar biasa.
“Jadi, saya fikir itu adalah semangat yang penting daripada buku ini.
“Saya juga percaya ini merupakan sumber inspirasi bagi generasi muda, anak-anak yang membesar daripada sebuah bandar kecil kemudianya berjaya dalam pelbagai lapangan mereka dan ini sesuatu yang sangat Istimewa,” ujarnya. – MalaysiaGazette