Penyanyi, Amira Othman mencuri tumpuan selepas memuat naik sebuah video memaparkan aktor, Fattah Amin.
Video yang dimuat naik di platform TikTok miliknya itu memaparkan Fattah memakai baju lengan panjang berona biru sedang sibuk berborak dipercayai ketika melawatnya di hospital.
Meskipun tidak meletakkan sebarang kapsyen, namun Amira menggunakan lagu latar belakang ‘Jatuh Cinta Lagi’ milik penyanyi, Nadhif Basalamah.
Dalam video tersebut juga Fattah kelihatan ceria dan bahagia tertawa.
@amiraothmanofficial
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen sempat mengusik Amira yang didakwa memberi bayangan dirinya ‘jatuh cinta’ dengan Fattah.
Sementara itu, aktor drama rantaian popular Keluarga Itu turut meninggalkan komen dengan menulis emoji ringkas memaparkan hati berwarna biru dan senyum love.
Manakala, adik Amira iaitu penyanyi, Irfan Haris turut menarik tumpuan yang seolah-olah memahami ‘hint’ yang diberikan oleh kakaknya itu.
“Tak apa guys, kita buat-buat tak faham saja la ek,” katanya ringkas.
Terdahulu, hubungan akrab antara Amira dan Fattah sering menjadi bualan hangat bukan sahaja dalam kalangan peminat, malah turut menarik perhatian rakan-rakan selebriti.
Walaupun kedua-duanya belum pernah mengesahkan status sebenar hubungan mereka, ramai mendakwa mereka kini sedang dilamun cinta.
Malah, timbul juga spekulasi mengatakan satu tarikh istimewa sedang menanti mereka dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, ketika ditemui media semasa pelancaran single terbaharunya berjudul Dalam Sujudmu, Amira menafikan khabar angin mengenai tarikh istimewa itu.