hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan segelintir individu yang secara terbuka memuat naik gambar dan video tidak berpuasa di media sosial sepanjang Ramadan disifatkan sebagai perbuatan melampau serta mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Pendakwah Bebas, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, isu berkenaan tidak boleh lagi dianggap sebagai hal peribadi kerana ia sudah memasuki ruang awam dan ditonton masyarakat tanpa batas.
Menurutnya, puasa pada bulan Ramadan adalah kewajipan yang jelas berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 183 Surah al-Baqarah dan ia termasuk dalam tuntutan asas agama yang wajib dipelihara setiap Muslim cukup syarat.
“Apabila seseorang secara terbuka memaparkan dirinya tidak berpuasa tanpa keuzuran syarie, ia bukan sahaja melanggar tuntutan agama, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk normalisasi kemungkaran.
“Dalam Islam, dosa yang dilakukan secara terang-terangan lebih berat implikasinya berbanding dosa yang disembunyikan,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Baru-baru ini tular beberapa video di media sosial yang memaparkan pemilik akaun secara terbuka mengakui tidak berpuasa sambil menikmati makanan.
Situasi itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang turut mengkritik perbuatan individu berkenaan.
Mohd Izhar berkata, Rasulullah SAW turut memberi peringatan semua umatnya diampuni kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan (al-mujahirin).
Beliau berkata, tindakan mempamerkan perbuatan tidak berpuasa secara terbuka seolah-olah mencabar kesucian syariat dan boleh memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Budaya media sosial yang mengangkat keterbukaan tanpa batas menjadi antara penyumbang utama.
“Selain itu, krisis jati diri, kelemahan kefahaman agama serta kecenderungan mencari perhatian dan validasi sosial turut mendorong perbuatan ini dipamerkan secara terbuka,” katanya.
Katanya, apabila kandungan tidak sensitif terhadap agama didedahkan berulang kali, ia boleh menyebabkan maksiat itu dilihat biasa dan tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan besar.
“Perbuatan itu bukan sahaja mengguris perasaan umat Islam yang memuliakan Ramadan, malah berisiko memberi contoh negatif kepada golongan muda serta menghakis rasa hormat terhadap syiar Islam, justeru pendekatan pendidikan dan bimbingan secara berhikmah perlu diutamakan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar menjadikan media sosial sebagai medan dakwah dan kebaikan, bukan medan menunjuk kelemahan diri.
“Ingatlah setiap hantaran adalah saksi di hadapan Allah SWT. Gunakanlah prinsip fikir sebelum muat naik hormati sensitiviti agama dan budaya, jangan normalisasikan kemungkaran dan sebarkan ilmu dan nilai positif.
“Media sosial adalah alat. Jika digunakan dengan iman dan taqwa, ia menjadi wasilah pahala. Jika disalah guna, ia boleh menjadi sebab dosa yang berpanjangan (dosa jariah),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




