Muda gesa pantau dan nilai pengurusan GISBH Kelantan

Muda gesa pantau dan nilai pengurusan GISBH Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa campur tangan Kerajaan Negeri Kelantan supaya mengambil tindakan segera dengan memantau dan menilai pengurusan serta operasi Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di negeri itu.

Pengerusinya, Abdul Rahman Khairuddin, berkata kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan perlu memastikan semua operasi mereka mematuhi tatakelola yang telus serta undang-undang berkaitan dikuatkuasakan.

Katanya, hal itu termasuk penilaian berkala terhadap rangkaian perniagaan mereka dan pusat-pusat yang membabitkan kanak-kanak bagi memastikan tiada eksploitasi, penderaan, atau pengabaian yang berlaku.

“Selain itu, pemeriksaan yang teliti perlu dijalankan terhadap premis-premis di bawah GISBH di Kelantan untuk memastikan bahawa kebajikan pekerja serta kanak-kanak dijaga dengan baik dan sebarang pelanggaran hak asasi manusia juga perlu ditangani dengan tegas.

“Kami menuntut ketelusan dan integriti dalam cara operasi GISBH serta tindakan segera dari

pihak berkuasa bagi menjamin kebajikan dan keselamatan semua pihak yang terbabit, khususnya kanak-kanak yang terdedah kepada risiko eksploitasi.

“Dalam masa sama GISBH perlu mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 dan memastikan bahawa institusi yang menguruskan kanak-kanak, sama ada berasaskan agama atau tidak, tertakluk kepada piawaian yang sama tanpa pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Abdul Rahman berkata, parti Muda Kelantan mengambil maklum berita penahanan 171 individu yang terbabit dalam operasi rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan, yang dilaporkan melalui “Op Global” baru-baru ini.

“Berita mengenai penyalahgunaan dan eksploitasi 402 kanak-kanak daripada 20

rumah amal milik GISBH menggemparkan negara dan menimbulkan kebimbangan yang mendalam tentang tahap pengurusan operasi mereka, termasuk di negeri Kelantan.

“Tambahan pula, rakyat berhak mengetahui status sebenar operasi ini, dan kami menyeru pemimpin negeri untuk tampil memberi penjelasan serta mengambil tindakan yang wajar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Beberapa premis perniagaan milik Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di sekitar bandar ini lengang selepas syarikat berkenaan didakwa terbabit dengan dakwaan wujud sindiket pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak.

Tinjauan ke beberapa premis seperti Restoran Ikhwan (Nasi Arab), Kedai Roti Ikhwan dan Hotel Ikhwan di Jalan Long Yunus, di sini mendapati ia masih beroperasi seperti biasa, begitu juga dengan sebuah lagi restoran, kedai runcit serta premis Butik dan Jahitan milik GISBH di Jalan Tok Guru di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top