Mudah Healthtech, MEASAT pacu agenda kesihatan primer

Mudah Healthtech, MEASAT pacu agenda kesihatan primer

SANDAKAN – Syarikat teknologi kesihatan tempatan, Mudah Healthtech dengan kerjasama MEASAT terus memperkukuh agenda kesihatan digital negara menerusi prapelancaran Kiosk Kesihatan Sihat Xpress di Wellness Hub Sandakan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Wellness Hub Sandakan menjadi bukti anjakan strategik negara daripada konsep ‘Sick Care’ kepada ‘Health Care’ sebenar di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

“Kami memuji sinergi Mudah Healthtech dalam memperkasakan setiap rakyat Malaysia untuk menjaga kesejahteraan diri sendiri.

“Melalui integrasi inovasi digital seperti Kiosk Kesihatan Sihat Xpress, kita sedang mendemokrasikan kesihatan dengan menjadikan kesejahteraan lebih saksama, inklusif, dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Dzulkefly menyempurnakan majlis prapelancaran kiosk kesihatan berkenaan dan ia turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Mudah Healthtech, Datuk Dr Kantha Rasalingam berkata, pihaknya komited merapatkan jurang kesihatan khususnya di Sabah dan Sarawak menerusi penggunaan teknologi digital.

Menurutnya, kiosk berkenaan memperkukuh visi syarikat untuk mendekati sehingga sejuta penduduk di kawasan pedalaman melalui akses digital yang mudah kepada sistem penjagaan kesihatan.

“Bagi ramai penduduk di rantau ini, pemantauan kesihatan secara konsisten sering terhalang oleh faktor jarak atau logistik,” ujarnya lagi.

Justeru, kongsi beliau, kiosk itu bertindak sebagai pautan kritikal, yang mana data masa nyata dikumpul membolehkan pengesanan awal isu kesihatan, sekali gus memperkasakan individu untuk mendapatkan nasihat perubatan sebelum masalah kecil menjadi kronik.

Sebagai rakan strategik, MEASAT menyokong penempatan kiosk berkuasa satelit itu melalui ketersambungan satelit berkelajuan tinggi dan ekosistem sokongan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, kerjasama bersama Mudah Healthtech membuktikan infrastruktur satelit mampu mengubah cabaran logistik penjagaan kesihatan luar bandar kepada perkhidmatan digital yang transformatif.

“Kami amat berbangga dengan kolaborasi ini, yang menyokong secara langsung visi KKM dan memperkukuh komitmen bersama kami untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam perjalanan menuju negara yang lebih sihat dan terhubung,” ujarnya.

Setakat ini, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk di komuniti pedalaman Sabah termasuk Kampung Togop dan Kampung Manikulau di Ranau serta Kampung Bonor di daerah Sook.

Scroll to Top