yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Secara prinsipnya, menjalankan perniagaan makanan pada siang hari Ramadan bukan sesuatu yang haram secara mutlak.
Banyak premis seperti restoran milik bukan Islam, hotel, lapangan terbang dan kawasan pelancongan tetap beroperasi kerana terdapat golongan yang diharuskan berbuka seperti orang sakit, musafir, wanita haid, ibu mengandung atau menyusu dan sebagainya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, isu berkaitan menjadi sensitif apabila premis dijadikan tempat terbuka untuk orang Islam yang sengaja tidak berpuasa tanpa uzur syarie.
Katanya, perlu dibezakan antara tanggungjawab individu Muslim yang wajib berpuasa dan tanggungjawab peniaga.
“Jika peniaga sengaja mempromosikan atau menggalakkan orang Islam makan secara terbuka tanpa uzur, maka ia boleh termasuk dalam unsur tolong-menolong dalam perkara dosa.
“Namun jika peniaga hanya menjalankan perniagaan biasa tanpa niat menggalakkan maksiat, dan tidak mengetahui keadaan sebenar pelanggan, maka dosa kembali kepada individu yang melanggar kewajipan puasa,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar persatuan restoran sering mengingatkan ahli menghormati sensitiviti Ramadan termasuk memastikan pelanggan mematuhi undang-undang serta peraturan pihak berkuasa agama negeri.
“Pendekatan yang lebih berhikmah termasuk peniaga Muslim menunjukkan sikap bertanggungjawab dan jaga imej Islam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



