am@hmetro.com.my
Alor Setar: Masyarakat bukan Islam perlu mematuhi keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Madjlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) berkaitan larangan penggunaan kalimah dan istilah khusus bagi umat Islam di negara ini.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata, larangan penggunaan yang diputuskan pada 2008 itu masih berkuatkuasa dan ia wajar dihormati semua pihak.
Katanya, tindakan melanggar keputusan itu boleh menyebabkan berlakunya masalah dan polemik antara umat Islam dan bukan Islam yang sepatutnya dapat dielak lebih awal.
“Sebenarnya sudah ada keputusan yang dibuat di peringkat kebangsaan dalam muzakarah MKI yang melarang beberapa istilah dalam agama kita untuk digunakan oleh bukan Islam.
“Sudah ada (fatwa), cuma sekarang timbul balik hingga jadi polemik. Jadi kita sepatutnya patuh pada keputusan yang dibuat itu dan diharap tidak berlaku lagi apa yang berlaku (baru-baru ini),” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini, tadi.
Turut hadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, keputusan mengenai larangan itu bukan sahaja diluluskan di peringkat kebangsaan, malah ia turut dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang kemudiannya bersetuju.
Katanya, walaupun ada masyarakat bukan Islam yang faham dan mahir menggunakan kalimah berkaitan Islam, mereka masih tetap dilarang menggunakan istilah berkenaan.
“Ada kalimah dan istilah yang mereka memang tidak boleh guna sebab sudah ada keputusannya mengenainya dibuat.
“Maka kita berharap saudara kita terutama bukan Islam patuhilah keputusan itu, walaupun mereka duduk dalam masyarakat kita dan mereka biasa, tahu dan pandai guna kalimah tertentu, tapi mereka kena mematuhi keputusan itu agar tidak timbul polemik,” katanya.
Pada 4 Februari lalu, Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantu Panjang menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




