am@hmetro.com.my
Tumpat: Pemancing yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Pengkalan Nangka, di sini, ditemukan lemas, malam ini.
Jasad Muhammad Salam Mohd Daud, 27, timbul di permukaan sungai jam 11.23 malam dalam jarak beberapa meter dari lokasinya hilan selepas setengah jam bapanya, Mohd Daud Che Husin, 56, melaungkan azan tidak jauh dari lokasi mangsa ditemukan.
Mohd Daud mengucapkan rasa syukur kerana anaknya itu akhirnya ditemukan walau dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
“Ketika melaungkan azan tadi, hati saya memohon kepada Allah agar Salam dijumpai juga malam ini dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan.
“Air mata berlinangan sebaik melihat jasad Salam timbul di permukaan sungai dan walaupun sudah tidak bernyawa, sekurang-kurangnya ada kuburnya,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Daud berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talak, selepas selesai proses bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Salam bersama seorang rakannya, Mohammad Nor Amirul Mohd Zaid, 25, ke Sungai Pengkalan Nangka untuk memancing.
Mangsa tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai kerana terkejutkan sebuah kenderaan yang datang namun Mohammad Nor Amirul berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa hilang di sungai.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd Nazdy Mohd Noor, berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika jam 7 petang memandangkan berlaku ribut di kawasan sekitar.
“Bagaimanapun pencarian di sekitar permukaan sungai tetap diteruskan dan jam 11.23 malam, penduduk kampung ternampak objek seakan manusia timbul di permukaan sungai.
“Rupanya objek itu adalah jasad mangsa yang timbul beberapa meter dari lokasinya dilihat kali terakhir ketika kejadian malam kelmarin,” katanya sambil memberitahu mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses selanjutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd