am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: “Minggu lalu, Muhammad Faris meminta izin kepada saya dan isteri untuk pergi ke pusat beli belah di Setia Alam untuk menonton wayang dan bermain boling bersama rakan-rakannya esok.
“Arwah sangat teruja mahu menyaksikan filem Ejen Ali The Movie 2. Namun, semua itu tidak kesampaian,” kata Mohd Fadzil Kadar, 46.
Mohd Fadzil adalah bapa kepada Muhammad Faris, 17, yang maut selepas merempuh sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram, semalam.
Beliau berkata, anak sulung dari dua beradik itu sebelumnya menghadiri kelas tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Bestari Jaya dan pulang ke kediaman mereka untuk meninggalkan barang.
“Arwah ketika itu dalam perjalanan menghantar rakannya pulang ke Kampung Parit Mahang. Tidak lama selepas itu, rakannya menghubungi saya bertanya adakah arwah sudah balik kerana panggilan tidak berjawab.
“Saya sudah tidak sedap hati dan cuba menghubunginya tetapi gagal. Kemudian, seorang rakan menghantar WhatsApp memaklumkan arwah terbabit kemalangan dan segera ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 8, Ijok, di sini hari ini.
Mohd Fadzil yang bekerja sebagai tukang gunting rambut berkata, dia bersyukur apabila Muhammad Faris sempat singgah di masjid untuk menunaikan solat Zuhur sebelum dijemput Ilahi buat selamanya.
“Saya dan isteri, Siti Mastura Mohammad, 46, gembira arwah mengetahui tanggungjawabnya dan pandai membawa diri.
“Alhamdulillah, Allah kurniakan kami anak yang menyenangkan keluarga.
“Malah, arwah memang taat kepada ibu bapanya dan komited dalam pelajaran demi mengejar cita-cita sebagai pakar bedah forensik.
“Dia juga disenangi ramai tidak kira di sekolah atau kampung kerana sifatnya yang ringan tulang,” katanya.
Jenazah Muhammad Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Ijok selepas solat Isyak semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan mendapati mangsa dari arah bertentangan disyaki hilang kawalan dan masuk ke laluan lori sebelum melanggar bahagian hadapan kenderaan berat berkenaan.
Azaharudin berkata, akibat kemalangan itu penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




