Muhammadiyah Indonesia tetapkan 1 Ramadan bermula Rabu

Muhammadiyah Indonesia tetapkan 1 Ramadan bermula Rabu

Jakarta: Pimpinan Pusat (PP) Muhammadiyah menetapkan awal Ramadan 1447 Hijrah jatuh pada Rabu (18 Februari 2026) berdasarkan kaedah hisab hakiki wujudul hilal yang menjadi pegangan Majlis Tarjih dan Tajdid pertubuhan itu, lapor KompasTV pada Isnin.

Penetapan itu dimaktubkan menerusi Maklumat Pimpinan Pusat Muhammadiyah dikeluarkan di Jogjakarta pada 22 September 2025.

Menurut maklumat berkenaan, pengiraan astronomi menunjukkan kedudukan bulan memenuhi syarat kewujudan hilal, sekali gus membolehkan permulaan puasa Ramadan ditetapkan pada tarikh berkenaan.

“Berdasarkan hisab hakiki wujudul hilal, kedudukan bulan memenuhi syarat, maka 1 Ramadan 1447 Hijrah ditetapkan pada Rabu, 18 Februari 2026,” menurut kenyataan PP Muhammadiyah.

Dalam pada itu, Hari Raya Aidilfitri atau 1 Syawal 1447 Hijrah pula ditetapkan jatuh pada Jumaat, 20 Mac 2026.

Penetapan tarikh itu adalah selaras dengan prinsip, syarat dan parameter Kalendar Hijriah Global Tunggal, yang dipersetujui dalam Musyawarah Nasional Tarjih Muhammadiyah ke-32 di Pekalongan pada 2024.

Maklumat itu turut menjelaskan bahawa ijtima’ menjelang Ramadan 1447 Hijrah pada Selasa, 17 Februari 2026.

Namun, berdasarkan kriteria Kalendar Hijriah Global, permulaan bulan baharu hanya dikira selepas terbenam matahari pada hari berikutnya, sekali gus menetapkan 18 Februari sebagai hari pertama Ramadan.

Maklumat itu dikeluarkan sebagai panduan rasmi kepada warga Muhammadiyah dan ditandatangani oleh Pengerusi Umum serta Setiausaha PP Muhammadiyah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top